Tuesday, January 5, 2010

Anak tidur berdengkur



Simptom berdengkur adalah sesuatu yang biasa kita dengar atau alami. Ia sering diasosiasikan dengan seorang dewasa yang keletihan, atau mempunyai masalah kegemukan atau obesiti. Pasti suatu yang agak mengejutkan bagi ibu bapa terutama bagi pasangan baru jika mendapati anak kecil mereka juga menunjukkan gejala seperti ini.

Adakah ia suatu yang normal, atau perlukan anak kecil tersebut dibawa berjumpa doktor? Bolehkah masalah ini diubati dan bagaimana pula jika ia berlanjutan sehingga ke usia dewasa? Semua ini adalah persoalan Lazim yang ditimbulkan oleh ibu bapa yang memerhatikan corak tidur anak kecil mereka yang disertai dengan alunan dengkur.

Punca Kanak-kanak Berdengkur

Walaupun berdengkur secara amnya boleh disebabkan oleh masalah sentral iaitu otak, dan masalah periferal iaitu saluran pernafasan, berdengkur dalam kalangan kanak-kanak pada kebanyakan masa adalah berpunca daripada masalah saluran pernafasan atas yang sempit. Darjah penyempitan yang dialami oleh seseorang kanak-kanak ini menentukan keterukan gejala berdengkur yang dialami. Semakin sempit saluran pernafasan, semakin kuat dengkurannya. Antara punca penyempitannya ialah kelenjar tonsil dan adenoid yang besar, rongga hidung yang tersumbat disebabkan oleh masalah alahan atau tulang hidung yang bengkok dan sebagainya. Tidak kurang juga gejala ini disumbangkan oleh keadaan obesiti atau masalah kegemukan pada kanak-kanak.

Pengaliran udara melalui saluran pernafasan yang sempit ini akan mengakibatkan lelangit lembut (bahagian yang mempunyai struktur uvula atau anak tekak) akan bergetar. Getaran ini akan menghasilkan bunyi yang kita dengari sebagai dengkur. Bagi mereka yang pernah melihatnya, ia merupakan suatu pengalaman yang mungkin menakutkan kerana kanak-kanak ini kelihatan seakan lemas kerana mereka terpaksa bertarung untuk bernafas dalam ruang yang sempit.




Tanda-tanda Berdengkur

Selain daripada gejala berdengkur yang mungkin diberitahu oleh orang yang melihat mereka tidur, kanak-kanak yang menghadapi masalah ini juga mungkin mengalami tanda-tanda lain yang merupakan manifestasi kepada kualiti tidur malam yang tidak mencapai kepuasan. Antaranya ialah sukar bangun pagi dan rasa mengantuk pada siang hari yang turut akan menjejaskan prestasi persekolahan seharian. Tumpuan di dalam kelas mungkin akan dikompromi akibat kurangnya konsentrasi disebabkan oleh rasa mengantuk. Berpunca daripada pernafasan yang kurang efisien juga, pengaliran oksigen sewaktu seseorang kanak-kanak mengalami masalah ‘sleep apnea’ (berhenti bernafas sewaktu tidur) yang juga merupakan salah satu rentetan berdengkur, akan mengakibatkan bekalan oksigen yang rendah sampai ke otak. Dengan ini, prestasi otak juga lama-kelamaan akan terjejas.

Cinta Dalam Islam..


kebelakang ni saya kerap membaca artikel "COUPLE HARAM" dari dari pelbagai blog dan web.Ada yang benar ada yang melencong dan ada juga yg mengatakan larangan berkasih sayang bukan muhrim dalam islam.Ada sedikit perkongsian maklumat mengenai cinta dan kasih sayang dalam islam sebelum nak ber"couple".

Terdapat banyak ungkapan berkaitan cinta yang membawa sebahagian atau keseluruhan makna sayang dalam berbagai darjat. Contohnya, kasih, sayang, suka, berahi dan sebagainya yang mempunyai hubung kait dengan perasaan cinta.

Dalam bahasa Arab, ia lumrah disebut dengan perkataan al-Hub (kasih atau cinta), al-mualah (saling setia), dan “al-‘isyq” (pendaman rasa kasih). Perkataan ini membawa makna cinta dalam berbagai darjatnya. Cinta adalah sebahagian daripada naluri atau intuisi yang ada dalam diri manusia yang dibekalkan oleh Allah S.W.T. Ia menjana kecenderungan dalam diri seseorang kepada orang lain yang menyebabkan dia memuja, menyanjung, dan beriltizam untuk membantu, menyanjung, mengambil hati serta membelai perasaan pihak yang dicintai.

“Cinta merujuk kepada perasaan jernih dan bersih yang berputik di hati. Ia menimbulkan suatu bentuk iltizam khusus, dan membawa makna lebih daripada sekadar redha atau puas. Orang mungkin redha dengan seseorang atau sesuatu, tetapi itu tidak bermakna dia mencintai, kasih atau menaruh hati kepadanya.

“Cinta teras kehidupan; ia pencetus rindu, yang mengukuhkan hubungan antara seseorang manusia dengan yang lain; baik manusia atau objek-objek lain. Sekiranya graviti adalah hukum alam yang mengikat antara bulan bintang dan planet .Ia menghalang pelanggaran antara planet-planet tersebut, maka cinta adalah rasa kasih sayang yang menambat dan menautkan hubungan kemanusiaan. Perasaan Cinta inilah yang menghalang mereka daripada bersengketa, dan melakukan pertarungan yang menumpahkan darah.

Menurut pengarang kitab “Mafahim Hadhariah:

Cinta adalah gejolak jiwa dan emosi yang terpancar dari batin manusia yang menampilkan kepadanya rasa bahagia dan damai. Perasaan ini memadukan seseorang dengan kekasihnya dalam perasaan suka, serasi dan sesuai hingga bertaut . Kalau cinta telah bercambah ia berubah menjadi perasaan mahu bersama dengan kekasih sehingga ia merasa fana dalam kesatuan. Tidak ada lagi perbedaan antara mereka berdua. Cinta adalah ikatan roh dan hubungan kejiwaaan dan intuisi yang berkobar dalam diri. Ia mengungkapkan diri dalam berbagai bentuk expresi ; seperti memuji, mencium, menghurmati, menjabat tangan, memberi nasihat, mendakap, menghindarkan bahaya, memberi hadiah, menemani, menziarahi, menyimpan gambar ingatan, saling menghantar memo kasih hinggalah sampai ke taraf hidup bersama.

“Sebab itu di dalam Islam, cinta amat dititikberatkan dan sangat diberi perhatian,”.Di dalam al-Quran, perkataan al-Hubb disebut 88 kali,
tetapi hanya sekali yang merujuk kepada cinta antara lelaki dan perempuan, iaitu dalam ayat 30 surah Yusuf;
“Dan wanita-wanita di kota berkata: ‘Isteri Al Aziz menggoda teruna (angkat)nya. Dia sudah dilamun cinta berahi . Kami berpendapat beliau terang-terang telah menyimpang.”

Manakala kebanyakan ayat-ayat lain merujuk kepada golongan yang disukai oleh Allah S.W.T atau golongan yang dimurkainya, contohnya dalam surah al-Baqarah: 195 (Allah suka orang-orang yang berbuat baik), al-Imran: 46 (Allah suka orang yang sabar), al-Imran: 159 (Allah suka orang yang bertawakal), at-Taubah: 108 (Allah suka orang yang mengamalkan budaya bersih), as-Saf: 4 (Allah suka orang yang berjuang di jalan-Nya), al-Baqarah: 205 (Allah tidak suka perbuatan orang yang melakukan kerosakan dalam masyarakat), an-Nisaa:107 (Allah tidak suka para pengkhianat yang banyak berbuat dosa), al-Mumtahanah: 8 (Allah suka orang-orang yang adil), dan al-Imran: 31 (… “Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu….”).

Perkataan sayang, kasih, yang diulang banyak kali ini membayangkan cinta sememangnya suatu yang penting di dalam Islam. Malah ada ulama berpendapat agama tidak lain adalah cinta atau kasih sayang. Jika tidak ada kasih sayang,seolah-olah tidaklah ada penghayatan agama.

“Cinta adalah suatu yang bersifat teras dalam Islam, malah iman itu tidak lain dari sayang, membenci, memberi kerana Allah S.W.T. Agama Islam adalah agama yang berteraskan kepada perasaan cinta dan kasih kerana Allah.”

Dalam hubungan ini terdapat banyak hadis Rasulullah saw yang menekankan soal cinta dan kasih sayang. Di dalam sepotong hadis riwayat Muslim dinyatakan:

“Demi Allah yang memakmurkan dunia, kamu tidak akan masuk syurga
sehingga kamu beriman, kamu tidak akan beriman sehinggalah kamu berkasih sayang antara satu sama lain.”

Baginda juga bersabda, “Sesiapa yang sayang kerana Allah, benci kerana Allah, memberi kerana Allah, dan menahan kerana Allah, maka telah sempurna imannya.”

Rasulullah saw turut mengajarkan doa, “Ya Allah, kurniakanlah kepadaku rasa sayang dan kasih kepada-Mu, dan rasa kasih sayang kepada orang yang sayang kepada-Mu, dan jadikanlah kasih sayang kepada-Mu itu lebih aku sukai daripada air yang dingin.”
Jadi di dalam Islam, cinta dan kasih sayang adalah sesuatu yang amat ditegaskan, ia adalah teras ajaran agama, malah menjadi asas ajaran agama.

Kasih sayang kepada Allah, agama, rasul, dan al-Quran membentuk seorang muslim.Tanpa cinta dan kasih sayang, masyarakat manusia tidak akan aman. Ia juga adalah asas kepada ketamadunan dan amat penting kerana mengikat hubungan suami isteri, anak dan ibu, kekeluargaan, masyarakat sebangsa dan sebagainya.Bagaimanapun, tegas Abdul Ghani, Islam mengajar kasih sayang dan cinta yang diluahkan dalam acuan yang diterima oleh syarak. Jika dilimpahkan dalam acuan yang melanggar batas syarak, ia adalah kasih sayang yang tidak sihat dan negatif. Contohnya berahi kepada sesama lelaki atau perempuan.

Dalam membicarakan cinta, para ulama telah membahagikannya kepada beberapa martabat. Yang tertinggi ialah cinta kepada Allah, rasul, agama dan jihad fisabilillah.Ini disebut al-hub ul a’la; lumrahnya apabila ajaran agama telah meresap ke dalam jiwa mukmin, keimanannya akan menjadi segar dan kental sehingga ia amat sayang kepada Allah S.W.T. Ini kerana dia yakin Allah S.W.T Maha Sempurna, Maha Agung dan tiada yang menyamai-Nya.

Mereka yang menikmati cinta tertinggi ini redha berbuat apa sahaja demi-Nya. Sebab itu, golongan yang mempunyai cinta tertinggi ini tidak akan memilih jalan yang tidak disukai-Nya kerana Allah S.W.T berfirman, “Tidaklah wajar bagi para mukmin lelaki dan perempuan apabila Allah dan Rasul-Nya menentukan sesuatu, mereka memilih yang lain….Sekiranya Allah menyatakan hukum-Nya adil maka mereka yang martabat cintanya tinggi kepada Allah akan mematuhinya dengan yakin.

Cinta di tahap kedua disebut al-Hub al-ausat atau cinta tahap pertengahan yang berkaitan dengan individu, keluarga, masyarakat dan sebagainya. Gerak hati dan perasaan manusia yang merasakan dirinya terpikat kepada orang lain dengan talian nasab, kekeluargaan, persahabatan dan sebagainya. Cinta seperti ini juga diperlukan dalam masyarakat manusia dan digalakkan oleh Allah S.W.T. Umpamanya mengasihi ibu bapa, isteri, suami, anak-anak, saudara mara dan sesama manusia akan mewujudkan suasana rukun damai dan harmoni. Tanpa cinta dalam martabat ini, tidak mungkin sebuah keluarga akan mendapat kebahagiaan. Akibat dari itu sudah pasti tidak akan ada zuriat yang dapat dilahirkan, dan tidak mungkin kukuh jalinan kemasyarakatan.

Jadi cinta di tahap ini amat penting untuk merealisasi keperluan individu, keluarga, bangsa, bahkan warga dunia. Sebab itu juga syariat Islam menegaskan perlunya dicambahkan, dan diperkasa cinta serta kasih sayang kepada isteri, suami, anak kecil, binatang, jiran, bahkah kepada seluruh manusia dan makhluk.,” Dalam hubungan ini terdapat beberapa hadis Nabi saw yang menegaskan perkara ini;

“Tidak beriman seorang daripada kamu sehingga dia mengasihi saudaranya seperti mana dia mengasihi dirinya sendiri.”

Sepotong hadis lain juga menyebut,
“Orang mukmin itu dalam kasih sayang dan kemesraan serta simpati sesama mereka bagaikan sebatang tubuh. Jika mana-mana anggota tubuh mengalami kesakitan, maka seluruh tubuh akan merasainya.”

“Sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat hendaklah dia berbuat baik dengan jirannya dan memuliakan mereka …”

Hadis lain juga menyebut,

“Makhluk ini seluruhnya adalah tanggungan Allah, orang yang paling disayangi Allah adalah orang yang paling banyak memberi manfaat kepada tanggungannya.”

Bagaimanapun, cinta ditahap kedua ini boleh ditamatkan untuk sementara waktu atau untuk selama-lamanya dengan sebab-sebab yang diperakukan oleh syarak. Jelasnya lebih lanjut, Dalam keadaan biasa, seseorang tidak boleh memboikot saudaranya, tetapi sekiranya orang berkenaan melakukan maksiat terang-terangan, dan berdegil untuk terus melaksanakan perkara yang haram, Islam menasihatkan agar dia diberi nasihat dengan menyatakan bahaya maksiat itu. Seterusnya Islam mengharuskan perbuatan memutuskan rasa cinta itu dengan syarat ianya kerana mematuhi perintah Allah. Di samping itu terdapat pula hadis menunjukkan, ‘Ikatan iman yang paling utuh adalah kesetiakawanan kerana Allah, bermusuh kerana Allah.’

“Pernah Nabi saw meminta umat Islam memulau Kaab bin Malik yang tidak mahu ikut serta dalam peperangan Tabuk, sehinggalah 50 malam menyebabkan Kaab merasakan bumi ini sempit baginya. “Bahkan Rasulullah saw juga pernah memulau isteri-isteri baginda untuk mendisiplinkan mereka.”Justeru itu, adalah harus memutuskan hubungan dan kasih sayang dalam batas tertentu untuk mendisiplinkan orang yang terus menerus bertindak menentang agama dan syariat Allah S.W.T.

Ini diperkukuhkan dengan ayat di dalam surah al-Mujaadalah: 22;
“Kamu tidak akan mendapati sesuatu kaum yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, saling berkasih sayang dengan orang-orang yang menentang Allah dan Rasul-Nya, sekalipun orang-orang itu bapa-bapa, atau anak-anak atau saudara-suadara ataupun keluarga mereka….”

Tahap cinta ketiga adalah cinta yang bertaraf rendah, negatif, dan memusnahkan manusia atau di sebut al-Hub al Adna. Contohnya cinta dan kasih kepada seorang yang zalim, diktator, atau orang yang menganggap dirinya sebagai tuhan.

Dalam surah al-Mumtahanah: 1, Allah berfirman;
“Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil musuh-Ku dan musuhmu menjadi teman-teman setia yang kamu sampaikan kepada mereka (berita-berita Muhammad), kerana rasa kasih sayang; padahal sesungguhnya mereka telah ingkar kepada kebenaran yang datang kepadamu….”

Begitu juga kasih sayang, berahi yang menyebabkan seseorang bergelumang dengan maksiat dankedurjanaan.Mencintai sesama insan atau lain-lain melebihi cinta kepada Allah, rasul dan jihad termasuk dalam kategori cinta bertarafrendah ini.

Ini ditegaskan oleh ayat al-Quran, surah at-Taubah: 24, “Katakanlah: ‘Jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuatiri kerugiannya, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai daripada Allah dan rasul-Nya dan (dari) berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusan-Nya.’ Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang fasik.”

Bahkan ada hadis menyatakan,
“Tidak akan beriman seorang daripada kamu sehingga aku lebih disayangi dari hartanya, anaknya dan orang lain,”

cinta yang buruk ini juga ialah cinta nafsu, patuh kepada kehendak-kehendak nafsu amarah, dan berakhlak dengan bangga diri, egoistik sehingga Allah berfirman; “Tidakkah kamu lihat (wahai Muhammad) orang yang menjadikan tuhannya ialah hawa nafsunya, dan Allah sesatkannya pada hal dia berilmu….”

Cinta ditahap ketiga ini termasuk cinta kepada syaitan, dengan memuja dan mematuhi perintah serta bisikannya. Sedangkan di dalam surah Yaasin difirman secara jelas bahawa syaitan adalah musuh manusia yang nyata, dan telah menyesatkan generasi-generasi terdahulu.

Dalam klasifikasi lain, cinta boleh merangkumi cinta kepada Allah, rasul, kasih sesama manusia, cinta kepada alam yang dicipta-Nya, termasuk gunung-ganang, sungai, laut dan lain-lain makhluk.Malah Rasulullah saw pernah menyebut, “Bukit ini (Uhud) sayang kepada kami dan kami juga sayang kepadanya.”

Baginda bersabda demikian kerana umat Islam ketika itu marahkan bukit tersebut selepas kalah dalam peperangan di sana. Tetapi baginda meyakinkan bahawa bukit tersebut tiada kena mengena dengan kekalahan yang mereka hadapi .Selain itu tambahnya, kita juga disuruh menyintai kehidupan sebagai satu rahmat dari Allah S.W.T. Malah Nabi saw kerap menyebut di dalam doanya,
“Ya Allah kekalkanlah kehidupanku selagi kehidupan itu lebih baik bagiku, dan matikanlah aku selagi mati itu lebih baik bagiku.”

Bagaimanapun di dalam Islam mati syahid juga adalah sesuatu yang digalakkan Tetapi ia dilihat dalam konteks apabila menghadapi cabaran dan keperluan semasa, apabila negara diceroboh oleh musuh-musuh Islam.Ketika itu, walaupun kita menyintai kehidupan, kita juga disuruh menyintai mati; cinta perjuangan, cinta untuk memerdekakan negara, cinta untuk bertemu dengan Allah, justeru Dia telah menjanjikan mereka yang mati syahid mendapat pahala yang amat besar,” .

Malangnya, individu dalam masyarakat kini ramai yang lebih cenderung memahami cinta dalam bentuk cinta tahap ketiga, yang lebih bersifat fizikal atau hissi, seperti cinta kepada wanita, kekasih, harta benda, pangkat atau kepentingan-kepentingan individu.“Cinta ‘asyik ma’syuk, menatang nafsu; inilah yang sering dilagu-lagukan.Cinta dan kasih sayang yang luas maksudnya diperkecilkan persepsinya, dan ini menunjukkan perkembangan menurun persepsi nilai dan akhlak masyarakat.

Cinta tidak boleh disempitkan sehingga menjadi cinta berkaitan asmara dana dan berahi sahaja.

Cinta dalam skop itupun mempunyai had, malah sesama suami isteri juga cinta sebegini terhad. Apabila usia meningkat cinta masih diperlukan tetapi bukan dalam bentuk cinta berahi atau sekadar seks, tetapi cinta dipertingkatkan dalam bentuk kemanusiaan yang lebih tinggi.“Malangnya, kita sekarang terlalu membesarkan soal cinta berahi seolah-olah itulah satu-satunya maksud cinta, kasih dan sayang. Padahal Islam memperkukuhkan pengisian cinta sehingga membawa manusia ke satu martabat kemanusiaan yang tinggi, kepada alam rohaniah yang lebih luhur. Mereka yang menikmati cinta sebenar ini menjadi manusia yang sebenar, pengasih dan menyayang sesama insan kerana itu adalah sebahagian sifat Allah S.W.T.

Dalam masa yang sama ada segolongan manusia yang terlalu mengutamakan cinta fizikal dan keseronokan diri sehingga tidak memikirkan kesannya kepada orang lain. Maka tidak hairanlah kalau ada yang sanggup merogol kanak-kanak. Orang sebegini menganggap cinta itu ialah tindakan untuk melepaskan nafsu syahwatnya semata-mata!

Ini membayangkan penyimpangan masyarakat mengenai pengertian sebenar cinta dan kasih sayang; cinta yang terkeluar dari acuan syarak. Contohnya seorang lelaki menyintai isteri orang kerana tidak berhati-hati sejak awal. Kerosakan dalam masyarakat akibat ‘cinta’ yang tidak menepati acuan syarak yang mempunyai kaitan pula dengan persekitaran yang juga tidak mengikut syarak. Budaya menonjol dan mempamerkan tubuh yang boleh menyemarakkan cinta fizikal serta berahi ini perlu dibatasi oleh individu, media, mahupun pihak berkuasa. Budaya ini merupakan mukadimah-mukadimah yang melahirkan jenayah seksual seperti rogol, atau cinta melampaui batas.

Cinta berahi ditonjolkan sebagai keseronokan, kebahagiaan, dan sesuatu yang didambakan setiap orang. Ini akan mewujudkan suasana yang mengobarkan berahi remaja, atau golongan yang ‘lapar dan dahaga’ tetapi tidak berkemampuan. Tanpa kawalan, ia akan menyebabkan berlaku penyimpangan dan kerosakan dalam masyarakat.

Dalam pada itu pendidikan dan kefahaman di kalangan umat Islam mengenai cinta dan tahap-tahapnya perlu diterapkan. Cinta kepada Allah, nabi, al-Quran dan agama perlu diutamakan agar mereka tidak membesar dengan sifat benci kepada titah perintahNya atau saranan agama. Bijak meletakkan perasaan, sama ada cinta atau benci kepada sesuatu yang membawa kelalaian, kemaksiatan dan kekufuran.

Pendidikan dalam segala peringkatnya harus diperkukuh. Manakala pendidikan itu bukan hanya di sekolah, tetapi termasuk pendidikan yang tidak formal. Keseluruhan masyarakat harus menjadi ruang yang ikut serta dan serba mendidik ke arah cinta positif. Janganlah suasana positif hanya diwujudkan di sekolah, tetapi di luar, pelajar dipengaruhi oleh nilai-nilai yang bertentangan dengan pendidikan yang mereka dapati di dalam sekolah.

Wallahu a'lam :)

Mudah-mudahan anda mendapat petunjuk dan hidayah daripadaNya.

Sekian.

Assalamualaikumwarahmatullahiwabarakatuh.