Tuesday, January 5, 2010

Anak tidur berdengkur



Simptom berdengkur adalah sesuatu yang biasa kita dengar atau alami. Ia sering diasosiasikan dengan seorang dewasa yang keletihan, atau mempunyai masalah kegemukan atau obesiti. Pasti suatu yang agak mengejutkan bagi ibu bapa terutama bagi pasangan baru jika mendapati anak kecil mereka juga menunjukkan gejala seperti ini.

Adakah ia suatu yang normal, atau perlukan anak kecil tersebut dibawa berjumpa doktor? Bolehkah masalah ini diubati dan bagaimana pula jika ia berlanjutan sehingga ke usia dewasa? Semua ini adalah persoalan Lazim yang ditimbulkan oleh ibu bapa yang memerhatikan corak tidur anak kecil mereka yang disertai dengan alunan dengkur.

Punca Kanak-kanak Berdengkur

Walaupun berdengkur secara amnya boleh disebabkan oleh masalah sentral iaitu otak, dan masalah periferal iaitu saluran pernafasan, berdengkur dalam kalangan kanak-kanak pada kebanyakan masa adalah berpunca daripada masalah saluran pernafasan atas yang sempit. Darjah penyempitan yang dialami oleh seseorang kanak-kanak ini menentukan keterukan gejala berdengkur yang dialami. Semakin sempit saluran pernafasan, semakin kuat dengkurannya. Antara punca penyempitannya ialah kelenjar tonsil dan adenoid yang besar, rongga hidung yang tersumbat disebabkan oleh masalah alahan atau tulang hidung yang bengkok dan sebagainya. Tidak kurang juga gejala ini disumbangkan oleh keadaan obesiti atau masalah kegemukan pada kanak-kanak.

Pengaliran udara melalui saluran pernafasan yang sempit ini akan mengakibatkan lelangit lembut (bahagian yang mempunyai struktur uvula atau anak tekak) akan bergetar. Getaran ini akan menghasilkan bunyi yang kita dengari sebagai dengkur. Bagi mereka yang pernah melihatnya, ia merupakan suatu pengalaman yang mungkin menakutkan kerana kanak-kanak ini kelihatan seakan lemas kerana mereka terpaksa bertarung untuk bernafas dalam ruang yang sempit.




Tanda-tanda Berdengkur

Selain daripada gejala berdengkur yang mungkin diberitahu oleh orang yang melihat mereka tidur, kanak-kanak yang menghadapi masalah ini juga mungkin mengalami tanda-tanda lain yang merupakan manifestasi kepada kualiti tidur malam yang tidak mencapai kepuasan. Antaranya ialah sukar bangun pagi dan rasa mengantuk pada siang hari yang turut akan menjejaskan prestasi persekolahan seharian. Tumpuan di dalam kelas mungkin akan dikompromi akibat kurangnya konsentrasi disebabkan oleh rasa mengantuk. Berpunca daripada pernafasan yang kurang efisien juga, pengaliran oksigen sewaktu seseorang kanak-kanak mengalami masalah ‘sleep apnea’ (berhenti bernafas sewaktu tidur) yang juga merupakan salah satu rentetan berdengkur, akan mengakibatkan bekalan oksigen yang rendah sampai ke otak. Dengan ini, prestasi otak juga lama-kelamaan akan terjejas.

No comments:

Post a Comment