“SEKOLAH sangat bangga kerana berjaya melahirkan seorang bintang kecil, yang sekali lagi telah menjuarai Pertandingan Suara Emas peringkat negeri. Tepukan gemuruh untuk adik Siti Aisyah binti Kamarudin, pelajar Darjah 5 Kenanga, penerima Anugerah Khas Sekolah untuk tahun ini!”
Tepuk sorak para pelajar, ibu bapa dan guru-guru bertambah galak apabila Siti yang kecil molek berbaju kebaya songket biru berkilau-kilau tampil dengan lenggang-lenggok lemah gemalai untuk menerima piala daripada Tuan Haji Abdul Rahman, Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru. Tuan Haji mengusap-usap kepala Siti, rambutnya yang panjang mengurai disanggul satu di pangkal leher dan dihias dengan cucuk sanggul bertatah batu kecubung.
“Bagus, jadilah anak yang berguna untuk agama, bangsa dan negara,”
“InsyaAllah Tuan Haji, terima kasih,” molek sungguh tutur kata dari bibir mungil bergincu merah menyala, bibir itu mengukir senyum sambil kelopak mata beralas pembayang mata hijau-biru-jingga dan dilapik alis palsu bermaskara tebal dikelip-kelipkan, malu-malu manja. Teserlah lesung pipit di dagu, wajah yang halus berbedak putih melepak dan pipi yang berseri-seri dengan perona merah jambu itu kelihatan begitu manis. Aroma pewanginya semerbak, kalah cikgu-cikgu perempuan di barisan hadapan.
“Cantik benar budaknya. Hai, bercakap pun sopan. Tak ada lagak kanak-kanak 11 tahun. Nampak matang sungguh!” bisik Tuan Haji sambil mengambil semula tempat duduk di atas pentas, di antara Ustaz Ali dan Tuan Guru Besar.
“Begitulah orang berbakat. Dapat pula didikan dan bimbingan ibu bapa. Keluarganya bersemangat benar memberi sokongan!”
“Pelajaran pun tak kalah, tu Tuan Haji. Selalu dapat Nombor Satu dalam kelas,” Hajah Rohana menyampuk.
Tuan Haji Abdul Rahman tersengih-sengih. Kalaulah budak ini tujuh lapan tahun lebih tua, menikah baru aku…
“…Silapnya kita ni, bakat dan minat anak-anak, kita diamkan, kita abaikan. Manalah anak-anak nak cemerlang. Sepatutnya, kita perlu memberi sokongan dan galakan. Suatu hari nanti bintang mereka akan bersinar berkat dorongan kita sebagai orang tua. Negara juga akan bangga dengan sumbangan besar yang dapat diberikan…”
Emak Siti dan Ayah Siti yang mendapat tempat istimewa di barisan kedua paling hadapan tersenyum-senyum kambing mendengar ucapan perasmian Tuan Haji Abdul Rahman. Anak kesayangan mereka menjadi bintang di mana-mana sahaja. Tadi pun semua orang ternganga dengan persembahan anak mereka, menyanyikan lagu Seri Mersing dan Bahtera Merdeka dengan pitching yang sempurna. Malah Emak berani cakap suara Siti lebih sedap daripada mana-mana penyanyi dalam TV pun.
Tidak sia-sia Emak dan Ayah menghantar Siti ke kelas vokal sejak usianya empat tahun dan menempahkan pakaian mahal-mahal untuk Siti gayakan setiap kali ke pentas. Tidak sia-sia Ayah membelikan set karaoke berharga ribuan supaya Siti dapat berlatih dan menghafal lirik di rumah dengan selesa, bila-bila masa dia suka. Tidak sia-sia Emak membeli set kosmetik berjenama untuk Siti, malah mengajar Siti berdandan, memadankan warna-warna di wajah dan pakaian, malah beg dan kasut pun perlu sedondon, barulah imej sentiasa anggun.
Tidak sia-sia di rumah ada ASTRO, boleh Siti menonton rancangan realiti televisyen yang bagus untuk mengasah bakat anak-anak muda. Biar dia turut terangsang untuk berusaha mencapai kejayaan yang sama dan dapat pula belajar memperbaiki mutu persembahannya. Siti dibelikan telefon tangan untuk mengundi bintang kegemarannya. Role-model penting untuk dijadikan contoh supaya lebih bersemangat untuk mengejar cita-cita. Soal pelajaran? Ah, Nor Amalina yang dapat berbelas-belas A1 itu pun belajar sambil menonton televisyen! Asal pandai membahagikan masa, tentu tidak timbul masalah. Bukankah Siti sentiasa dapat Nombor Satu? Barangkali berkat sungguh doa Emak dan Ayah!
Siti meniarap di atas katil sambil membelek-belek majalah hiburan yang dibelikan Emak. Tiap-tiap kali keluar ke pekan membeli barang-barang rumah atau kain baju, Emak sentiasa ingat akan anaknya yang gemar membaca. Beraneka majalah hiburan dan buku suka duka putus cinta artis yang tersusun rapi dalam bilik Siti. Emak mahu pembacaan Siti meluas dan meliputi pelbagai aspek kehidupan.
Merdu suara Siti Nurhaliza berkumandang dari speaker Hi-Fi di sudut bilik. Siti senang sekali mendengarnya. Lunak nian, meremangkan bulu tengkuk. Siti yang itu tinggi, langsing, sangat cantik dan dapat berkahwin dengan orang kaya dalam majlis perkahwinan seperti yang dimimpikan oleh setiap Cinderella sebelum bertemu Prince Charmingnya. Bukan sahaja rembulan jatuh ke ribaannya, bintang-bintang pun seperti hujan yang menghiasi hidupnya yang tentunya penuh kebahagiaan dan kemeriahan. Siti tahu, tidak mustahil untuk dia mengecapi tuah seperti itu. Suaranya sangat merdu dan dia sangat berbakat. Semua orang – ya, semua – berkata begitu. Semua orang berkata yang dia seorang bintang kecil.
“Dalam zaman awak nanti, awak akan jadi bintang!” itu kata ketua hakim yang baru menganugerahkan juara kepadanya dua minggu lepas. Siti terfikir, bila zaman aku agaknya? Mungkin sesudah habis belajar dan dapat bergiat serius dalam lapangan seni suara nanti. Tapi, bukankah orang lain belum PMR pun sudah ada yang terkenal meletup-letup? Siti yakin, ‘zaman’ untuk dia menjadi bintang sebenar – bintang besar, bukan bintang kecil lagi – sudah sangat hampir. Tapi Siti gerun kalau Prince Charmingnya sudah tua dan bermisai lebat seperti arwah Tok Aki. Siti mahu yang muda, yang tampan bergaya, dan penting sekali, yang kaya-raya. Calon yang bagus tentu sekali Abang Adam, anak Tuan Haji Abdul Rahman yang selalu menjeling-jeling dan menyiulnya setiap kali terserempak atau melintas di hadapan rumah Siti pada petang-petang hari. Tinggi, putih, rambut ala Leonardo diCaprio, wajah mirip-mirip Yusry KRU.
Abang Adam belajar di sekolah asrama yang terkenal di bandar dan pulang tiap-tiap minggu. Siti teringat pasangan kekasih dalam drama bersiri remaja yang ditunggu-tunggunya saban minggu. Romantiknya kalau dia dan Abang Adam saling mengucapkan “I love you…” dan “Saya sayang awak sangat-sangat…” sambil berpegangan tangan dan merenung ke dalam mata satu sama lain. Seronok sungguh menjadi orang yang cantik dan berbakat ini!
Pintu bilik diketuk. Anganan Siti cabut lari seperti kucing disergah. Kakak datang mengajak Siti solat Maghrib berjemaah. Alamak. Bosannya. Orang tengah baca majalah sambil berangan jadi bintanglah Kakak, janganlah kacau! Emak dan Ayah tak pernah bising-bising suruh Siti sembahyang. Siti tahu Emak dan Ayah selalu sembahyang kalau sempat, kalau tiada mesyuarat atau program syarikat, tapi kata mereka Siti masih kecil lagi, janganlah ekstrim sangat. Beribadah perlu ikhlas, usah didesak-desak.
Siti sebenarnya suka Kakak datang ke rumah. Sepupunya yang empat tahun lebih tua itu sangat rapat dengannya sejak kecil, temannya bermain, mengadu dan bercerita. Kakak selalu datang bermalam apabila Mak Su dan Pak Su keluar outstation. Bisik-bisik Emak dan Ayah, mereka bukan outstation, tapi pergi berdakwah. Gerun Siti mengingatkan cerita ajaran sesat dan gambar perempuan berselubung hitam yang pernah dilihatnya dalam akhbar. Mak Su bertudung labuh. Pak Su yang suka berkopiah itu sering mengajak Ayah berjemaah di masjid, dan Ayah selalunya terpaksa mengikut kerana segan. Seperti Siti yang segan dengan Kakak sekarang dan akur menjadi makmum.
“Hijjaz, Raihan, Qatrunnada, Opick, Nahwan Nur, eh macam tak pernah dengar nama-nama kumpulan ni. Kakak suka dengar lagu nasyid ye?”
Kakak angguk. “Bagus tahu,”
Siti seronok apabila sekali-sekala melawat Mak Su dan Pak Su yang sangat memanjakannya. Mak Su akan masak sedap-sedap dan Pak Su menghadiahkan permainan. Kemudian boleh masuk ke bilik Kakak dan lihat apa-apa yang menarik di situ. Tidak ada majalah hiburan dan buku biografi artis tetapi ada komik-komik yang menyeronokkan. Kata Kakak, komik-komik itu banyak nilai murni. Contoh teladan yang baik. Kakak juga ada CD kartun yang banyak. Tom and Jerry Collection, Detective Conan Series, malah Doraemon dan Shin Chan. Tiap-tiap kali Siti datang, mesti ada komik dan kartun yang baru. Tapi kali ini, Siti tertarik dengan deretan kaset dan CD muzik Kakak. Selalu dia jarang perasankan itu semua kerana leka dengan komik dan kartun.
“Nasyid apa yang Siti tahu? Tentu sedap suara Siti bernasyid,”
“Er, Siti tak suka dengar lagu nasyid. Tak biasa. Siti tahu satu saja, nasyid In-Team yang tajuknya Kasih Kekasih. Kau tahu ku merinduimu.. ku tahu kaumenyintaiku...”
“Wah, merdu sungguh suara Siti!” Kakak memuji. Siti tersenyum-senyum dan mengucapkan terima kasih. Tertib yang diajar Emak, bila dipuji, ucapkan terima kasih.
“Em, kenapa ya Siti suka menyanyi? Suka masuk pertandingan?”
“Seronoklah, dapat naik pentas, pakai cantik-cantik dan bersolek. Orang puji. Jadi popular dan semua orang minat. Dapat hadiah, duit, piala. Budak lelaki hantar surat cinta. Nanti besar, jadi bintang terkenal dan kumpul banyak duit. Masuk TV dan radio. Buat konsert besar-besaran, peminat berkumpul dan bersorak ramai-ramai. Kemudian lelaki tampan jatuh cinta dengan Siti, wah seronoknya…”
“Siti budak pandai, selalu dapat Nombor Satu. Orang macam Siti, banyak dapat sumbangkan kepada negara. Agak-agaklah, kalau Siti jadi hebat begitu, apa yang dapat Siti beri kepada negara? Apa yang Siti dapat tolong rakyat? Em, kita orang Islamkan, apa yang dapat Siti tolong orang Islam?”
“Bila Siti berjuang dalam arena seni suara, peminat beli album dan datang konsert Siti, itu dapat mengukuhkan industri muzik negara. Kuatkan ekonomi tu. Kemudian bila terkenal di peringkat antarabangsa, Siti dapat perkenalkan negara dan harumkan nama negara di mata dunia. Mesej yang baik dalam lagu Siti boleh orang contohi.”
Kakak mengeluh. Sebiji macam skrip para artis dalam artikel hiburan. Macamlah negara memerlukan artis untuk menjadi terkenal dan disanjung. Negara berhajat kepada pemimpin dan rakyat yang berotak serta berhati, serta meletakkan otak dan hati itu di tempat yang betul, bukan di kepala lutut atau di belakang punggung. Macamlah orang akan insaf dan bertaubat selepas pergi konsert artis yang lagu-lagunya ada menyuntikkan mesej positif.
Kakak teringat pertandingan nasyid sempena Minggu Anti Dadah di sekolahnya. Munsyid perempuan bermekap tebal 16 inci, berpakaian cantik berkilat-kilat, menggoyang-goyangkan badan di atas pentas mengajak orang ramai dan remaja membenci dadah. Mengulangi bait lirik seperti “Dadah merbahaya perosak bangsa” dan “Sedarlah umat bahaya dadah”. Hairan sungguh. Adakah sesiapa yang teruja untuk membenci dadah atau bertindak membanteras ketagihan dadah selepas menontonnya?
Kasihan Siti. Rebung yang ditoreh-toreh dengan ukiran yang hodoh. Kain putih yang dicorak-corak dengan rupa yang kalut. Siti perlu diajak mengenal tujuan hidup.
“Siti, Siti tahu Allah kan? Allah Tuhan kita kan?” Siti angguk dan Kakak menarik tangan mengajaknya duduk.
Air mata Siti mengalir laju. Sedih sungguh melihat Alex yang berminggu-minggu diundinya tanpa berkira, tiba-tiba terkeluar daripada senarai peserta sebuah program hiburan. Alex dengan suara yang serak-serak kering dan rupa seperti pelakon Hollywood, sehingga Siti terigau-igau, sudah terkeluar!
“Siti kenapa menangis?” Kakak datang dan duduk terhenyak di atas sofa di sebelah Siti dan mencapai alat kawalan jauh. “Siapa yang terkeluar?”
“Alex,” Siti menjawab dalam sedu-sedan. Kakak menekan-nekan punat, mencari siaran kartun. Siti kurang senang, pantas merebut.
“Kakak janganlah! Siti nak tengok ni,”
“Tak bosankah? Tiap-tiap episod sama. Menyanyi, kena marah, kena singkir, peluk-peluk menangis. Tengok kartun lagi seronok. Boleh ketawa,”
“Fatimah, biarlah Siti tengok orang belajar menyanyi, menari, showmanship. Nanti dia pun akan terkenal begitu. Kami tumpang bangga,” Kakak sedikit tersentak. Emak dan Ayah tiba-tiba muncul dari dapur. Dulang berisi juadah minum petang yang ditatang Emak diletakkan di atas meja di hadapan TV. Ada teh panas dan sepiring kuih. Juga ada segelas air limau nipis.
“Air limau hangat tu untuk Siti. Tiga hari lagi kan ada ujibakat Sanggar Cilik, dia kenalah menjaga suara,” jelas Emak tanpa perlu ditanya.
“Sanggar Cilik?”
“Ya, pertandingan nyanyian realiti khas untuk kanak-kanak. Anjuran stesen TV mana entah, pak cik lupa. Mahu beri peluang budak-budak berbakat masuk sekolah penghibur. Bagus sungguh, usaha mengasuh bakat baru memang patut disegerakan. Lambat-lambat nanti entahkan rugi bakat tu tumpul tak berasah!”
“Oh begitu…” Kakak menghirup teh sambil mengerling TV yang menayangkan siaran ulangan rancangan realiti kegemaran Siti. Siti tunak merenung skrin, mencari-cari kelibat Alex.
“Fatimah, betulkah ayah dan ibu kamu orang dakwah?” Kakak mengangkat kening, memandang tepat ke arah Emak yang menyoal dan Ayah di sebelahnya.
“Er.. tak tahulah pula.” Kakak serba salah. Siti tuntas memasang telinga, entah bagaimana kelincahan Alex tidak lagi menarik perhatiannya. Ini mesti kerana Siti beritahu Emak tentang ‘ceramah’ Kakak tempoh hari. “Pak cik tak salahkan usaha orang-orang yang mencari kebaikan. Kami menghormati ayah dan ibu kamu, walaupun jalan mereka itu entah Islam yang sebenar entahkan tidak. Hari-hari kerajaan berkempen tentang ajaran sesat, orang Islam di negara-negara lain pula sibuk menjadi pengganas dan ekstrim. Dulu pun ada kes al-Arqam,”
“Kami tiada hak menghalang mereka daripada mempengaruhi kamu, anak mereka. Tapi janganlah ajar Siti perkara yang bukan-bukan. Biarlah dia mengejar cita-citanya, mengasah bakat kurniaan Allah untuk dia. Anak mak cik masih kecil, jangan sampai fikirannya bercelaru kerana ajaran yang pelik-pelik. Apabila besar, pandailah dia membuat keputusan sendiri.”
“Pak cik teringin sangat lihat Siti benar-benar menjadi bintang. Bakat yang dia miliki sangat besar, kami tak sanggup mempersia-siakannya begitu sahaja,”
“Kita hidup di dunia ini tak lama, pak cik, mak cik. Bukan banyak sangat pun peluang untuk kita mengumpul pahala…” Kakak bersuara perlahan.
“Ha, itulah saya kata bang, dia memang terpengaruh dengan ibu bapanya. Fatimah, kita ni orang Islam. Buruk-buruk mana pun perangai, hujungnya tetap masuk syurga. Tak inginkah kamu lihat Siti menjadi terkenal, bintangnya gemerlap?”
“Menjadi artis tak semestinya seksi dan liar. Artis bertudung semakin ramai. Artis sopan pun banyak. Lagipun, yang utama hati. Buat apa bertapa di masjid 24 jam kalau hati busuk. Anak pak cik berakhlak mulia dan sopan santun. Kamu usahlah bimbangkan dia. Kami akan memerhatikannya dan menjaganya.”
TV menyiarkan azan. Siti cepat menekan punat alat kawalan jauh, mencari saluran lain. Ketika Kakak mengangkat takbir untuk solat fardu Asar, dia dapat mendengar dengan jelas suara merdu Siti mendendangkan lagu terbaru artis pujaannya diiringi muzik rancak dari set karaoke di ruang tamu.
“Alhamdulillah, Allah makbulkan doa mak cik. Inilah peluang untuk anak kami menjadi bintang,” Emak mengesat air mata yang berjelejehan. Siti juga menangis kegembiraan sambil duduk diapit Emak dan Ayah. Krew stesen TV sibuk merakamkan reaksi peserta Sanggar Cilik ini dan keluarganya.
“Pesan pak cik, belajarlah seni pentas itu elok-elok. Dengar cakap cikgu, hormat orang yang lebih tua, berkawan baik-baik. Jangan tinggal sembahyang dan banyak-banyak berdoa. Peluang ini datang sekali seumur hidup, Siti jangan sia-siakan,”
“Siti akan belajar rajin-rajin. InsyaAllah, Siti akan jadi bintang!”
Tuan Haji Abdul Rahman dan anaknya Adam menonton TV tidak berkedip. Wah, budak Siti ini sudah masuk TV! Hebat sungguh. Popular lagi kampung dan sekolahnya nanti. Budak bertuah yang membawa tuah. Cantik dan berbakat.
Otak mereka berdua memainkan khayalan yang sama. Tujuh lapan tahun lagi…

No comments:
Post a Comment